Pages

Friday, 19 June 2009

PAHALA ISTERI



Isteri adalah ketua pentadbir di dalam rumah, dalam erti memberi sumbangan yang amat besar dalam melayan keperluan suami sama ada keperluan zahir mahupun batin. Isteri yang mengetahui hakikat ini akan bertindak bijak dengan mengerahkan segala daya dan upaya untuk megabdikan dirinya kepada suami, berbuat baik dan melayan suami, demi untuk memperolehi cinta yang tulus dari suami yang dikasihinya. Berikut adalah beberapa langkah untuk mendapatkan cinta suami, dengan merujuk kepada Hadith Rasulullah.

Layan suami dengan baik dapat pahala jihad

Rasulullah menyebut dalam hadith bahawa apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan isteri layan dengan baik maka dia memperolehi pahala jihad.
Jihad adalah sebuah amalan yang paling besar di dalam islam. Tidak ada pahala yang lebih melainkan pahala jihad. Orang yang mati di dalam berjihad adalah mati syahid, tidak melalui zaman perhisaban, melainkan terus masuk ke dalam syurga.

Menjaga adab rumah tangga
Rasulullah menyebutkan bahawa mana-mana wanita yang menyebabkan suami keluar ke jalan Allah dan menjaga adab rumahtangga akan masuk syurga 500 tahun lebih dahulu dari suaminya. Dia akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari. Dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggang kuda yang dibuat dari permata yagut.
Demikian hebatnya pahala menggalakkan suami pergi berjihad, disamping mendapat pujian dari suami, juga akan masuk syurga lebih dari suaminya, dan akan mengetuai ribuan malaikat dan bidadari. Sungguh mulia kedudukan wanita yang solehah.

Menjaga solat dan mentaati suami
Rasulullah menyebutkan bahawa wanita yang menjaga solatnya, puasa dan taat pada suami, Allah izinkan dia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka. Bayangkan, betapa indahnya menjadi isteri yang solehah, yang diizinkan oleh Allah masuk syurga dari pintu mana sahaja yang ia suka. Satu bentuk penghormatan yang diberikan Allah kepada kaum wanita kerana ketaatan mereka kepada suami.

Melayan suami tanpa khianat dapat pahala 12 tahun solat
Rasulullah mengatakan, kalau isteri layan suami tanpa khianat dia dapat pahala 12 tahun solat. Pahala sebegini banyak tentulah menunjukkan kasih sayang Allah kepada wanita yang melayan suami dengan ikhlas tanpa khianat sedikitpun, sama ada semasa suaminya di rumah mahupun di luar rumah.

Picit suami
Sabda Rasulullah bahawa wanita yang picit suami tanpa disuruh dapat pahala 7 lapis emas dan wanita yang picit suami bila disuruh dapat pahala 7 lapis perak.
Memicit suami apabila ketika suami baru pulang dari pejabat dan tentunya sangat letih, maka ketika itu terasa nikmat tangan isteri yang memicit kaki suaminya dengan penuh kasih mesra dan kasih sayang. Wajarlah kalau Allah memberikan pahala yang cukup besar kepada wanita yang dengan ikhlas memicit kaki suaminya.

Mendapat keredhaan suami
Wanita yang meninggal dengan keredhaan suaminya akan masuk syurga. Demikian janji Rasulullah kepada kita, yakni mana-mana perempuan yang taatkan suaminya, patuh dan setia, apabila meninggal dunia dan suami meredhainya, maka ia dijamin syurga.

Isteri yang melihat suami dengan pandangan sayang
Isteri yang lihat suami dengan kasih-sayang dan suami yang lihat isteri dengan kasih-sayang maka Allah pandang dengan penuh rahmat.
Pandangan kasih seorang isteri kepada suaminya dan begitu pula sebaliknya, merupakan pahala di sisi Allah. Oleh itu lama seorang isteri memandang wajah suaminya dengan kasih sayang dan lemah lembut, semakin besar rahmat Allah akan turun kepadanya.

Meredakan kemarahan suami dapat separuh pahala jihad
Jika suami datang dengan kemarahan tetapi isteri layan dengan baik dapat separuh pahala jihad.Kemarahan suami adalah kemarahan yang boleh mencetuskan kerenggangan di dalam rumahtangga. Oleh itu kemampuan isteri meredakan kemarahan suami merupakan karya besar bagi membunuh sifat iblis yangsedang menguasai suami, sehingga Allah menjanjikan separuh pahala jihad bagi isteri yang layan suami walaupun suaminya sedang marah.

No comments:

Post a Comment